Friday, 13 June 2014


Adil ramuan penting tadbir balai

Ayub Shafie (tiga dari kanan) sentiasa bekerjasama dan mengambil berat tentang anggota bawahnya ketika di Balai Polis Seri Petaling.

BUKAN mudah untuk menjadi ketua kepada 133 anggota polis kerana ia memerlukan daya tahan dan kesabaran yang tinggi.Lebih-lebih lagi untuk mengemudi sebuah balai polis yang terletak di dalam pusat bandar.Menurut Sub Inspektor Ayub Shafie, 53, seperti Ketua Polis Negara, Negeri dan Daerah, peranan sebagai ketua polis balai juga mempunyai cabaran tersendiri yang merangkumi pentadbiran, pengurusan balai, kebajikan anggota, pembahagian dan pelaksanaan tugas, pengklasifikasian kes, pemantauan dan penilaian perkhidmatan.

Sudah berkhidmat selama 34 tahun bersama pasukan Polis Diraja Malaysia (PDRM), Ayub berazam untuk menggalas tanggungjawab yang diberikan dengan penuh iltizam bagi memastikan penjenayah dibanteras.Sebagai seorang ketua, kebijaksanaan dan keberkesanan dalam melaksanakan tugas amat diperlukan. Kegagalan seseorang ketua mengorganisasi balai, akan menyebabkan tugas dan peranan anggota yang lain bermasalah.

“Masalah ini sekaligus mengakibatkan banyak kerja tergendala, malah lebih teruk lagi sekiranya pelbagai aduan negatif diterima daripada orang awam mengenai kegagalan menangani kes," ujarnya. Menurut anak jati Teluk Intan, Perak itu, selain mengatur dan mengeluarkan arahan mengenai penugasan anggota, ketua juga perlu peka terhadap keselamatan dan kebajikan anggota.

Apabila melibatkan kesalahan dari segi tata tertib, beliau akan mengambil pendekatan untuk melakukan siasatan terlebih dahulu dan tidak terburu-buru dalam mengambil tindakan. “Saya akan memanggil anggota berkenaan untuk bertanya tentang masalah yang mereka dihadapi.Untuk kesalahan pertama, saya akan memberi peluang dan nasihat kepada anggota terbabit supaya berubah ke arah lebih baik dan tidak mengulangi kesilapan tersebut," katanya.

Tambah beliau, sebaliknya, jika tiada perubahan, barulah anggota terbabit dikehendaki untuk menyerahkan surat tunjuk sebab.Mereka turut akan dihantar ke Unit Kaunseling untuk mendapatkan khidmat nasihat. Sekiranya anggota terbabit masih mengulangi kesilapan, barulah saya mengambil keputusan untuk menyerahkan laporan kesalahan kepada Cawangan Tata Tertib untuk tindakan selanjutnya," ujarnya.

Dalam pada itu, bagi Ayub, ramuan yang penting untuk mentadbir balai adalah keadilan bagi semua pihak kerana ia akan memberikan keberkatan kepada semua pihak termasuk dirinya.


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Polis_&_Tentera/20140610/te_01/Adil-ramuan-penting-tadbir-balai#ixzz34TkaZzG7
© Utusan Melayu (M) Bhd 

No comments: